Rabu, 23 November 2016

Penjawat Awam Diberi Amaran Tidak Guna Media Sosial Hantar Maklumat Sulit Kerajaan @DrAliHamsa @NajibRazak

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata tindakan menghantar maklumat melalui media sosial bertentangan dengan etika kerja penjawat awam


Penjawat awam diberi amaran untuk tidak menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram bagi tujuan penghantaran maklumat sulit kerajaan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kebocoran maklumat. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tangau berkata, tindakan menghantar maklumat melalui media sosial bertentangan dengan etika kerja penjawat awam. Ini kerana mengundang implikasi termasuk risiko kebocoran dan pencerobohan keselamatan akibat komunikasi terdedah. “Selain itu, wujud risiko kecurian identiti, penjejasan reputasi dan penurunan keyakinan pengguna teknologi maklumat (IT). 

“Bagi mengelak kebocoran data, pengguna perlu memastikan aplikasi pesanan ini sentiasa dikemas kini dan mempunyai perlindungan diperlukan untuk komunikasi secara selamat,” katanya. Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, sebentar tadi. 

Azmi mempersoal samada kandungan aplikasi WhatsApp dan Telegram boleh dimuat turun dan dipantau oleh pembangun sistem berkenaan dari Amerika Syarikat serta sejauh mana ia memberi cabaran kepada negara.